Monday, June 29, 2009

STRESS.!!!




TEKANAN atau stres berpunca daripada sifat semula jadi yang tidak stabil seperti terlalu inginkan kemenangan, bersikap terlalu mementingkan kesempurnaan, suka mendesak, risau keterlaluan, tidak mahu menerima teguran, bersangka buruk dan berdendam.
Bagi menghindarkan diri daripada keadaan ini, kita perlu menangani tekanan dengan bijak. Jika tidak boleh dihilangkan sepenuhnya, sekurang-kurangnya kita dapat mengawal perasaan tertekan dengan bijak.

Cabaran hidup sekarang mendedahkan kita kepada pelbagai bentuk tekanan dan cara menghadapinya banyak bergantung kepada ketahanan diri. Mereka yang berjaya menangani tekanan, akan berjaya menguruskan diri.

Hakikatnya, ujian tekanan adalah perkara lumrah selagi kita bergelar manusia. Ujian yang mendatang sama ada dalam bentuk yang kita suka atau sebaliknya ada kalanya menjadikan seseorang itu lebih kuat.Namun, tidak kurang yang terjebak dalam perkara negatif kerana gagal menangani tekanan seperti bergantung hidup kepada pengaruh dadah, membiarkan diri tidak terurus serta meneruskan hidup dalam tekanan.

Antara punca tekanan ialah sifat semula jadi, terlalu mengharap yang terbaik, tidak dapat menerima teguran orang lain, cemburu dengan kejayaan orang lain, kerja yang membosankan dan pelbagai sebab lagi, bergantung kepada bagaimana seseorang itu melihat sesuatu keadaan.
Punca tekanan boleh dikenal pasti melalui perubahan emosi seperti cepat marah, mudah menangis dan sentiasa bersedih, kecewa, hampa, mudah mengamuk, prestasi merosot,
kekeringan idea, sukar tidur dan hilang selera makan.


Monday, June 1, 2009

TEMERLOH 'famous'..


Sungai Kepung 'titik tengah'

Oleh ALI MAHMOOD
utusanpahang@utusan.com.my

TEMERLOH 26 Mei - Daerah Temerloh akan mempunyai sebuah lagi tempat tarikan pelancongan apabila sebuah perkampungan di Mentakab, Sungai Kepung dikenalpasti menjadi 'titik tengah' Semenanjung Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, kajian mengenai kedudukan titik tengah itu dijalankan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) berdasarkan tiga formula iaitu kiraan mengikut matematik, garisan dan berat muka bumi.

Mengikut kiraan matematik, katanya, 'titik tengah' itu terletak antara Sungai Kepung dan Kampung Bongsu serta kiraannya didapati lebih tepat berbanding formula garisan yang dilakukan sebelum ini.

''Apabila JUPEM membentangkan penemuan baru ini kepada kerajaan negeri dalam masa yang terdekat ini, saya berharap Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dapat membangunkan kawasan itu sebagai kawasan pelancongan baru di daerah ini.

''Bagi saya, penemuan titik tengah itu bukan sahaja bersejarah bagi Pahang tetapi seluruh rakyat yang tinggal di Semenanjung dan tempat itu harus dilawati oleh semua orang sekali seumur hidup," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohd. Sharkar berharap kerajaan negeri, MPT dan Majlis Daerah Temerloh (PDT) memikirkan sesuatu bagi mempopularkan Sungai Kepung seperti membina monumen atau meletakkan batu asas bagi menarik rakyat dan pelancong mengunjungi tempat tersebut.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga boleh menggalakkan agensi pelancongan supaya memasukkan Sungai Kepung dalam pakej pelancongan selain Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah dekat sini.

''Lawatan ke titik tengah di Sungai Kepung itu boleh dimasukkan sekali dalam pakej lawatan pelancong ke Kuala Gandah.

''MPT perlu mengambil peluang ini untuk mengkomersialkan titik tengah ini bagi menyemarakkan lagi industri pelancongan di sini.

''Penemuan baru itu akan mempopularkan lagi Temerloh sebagai destinasi pelancongan merangkumi sumber ekologi dan biologi Hutan Simpan Krau yang dinamakan sebagai Lembah Bio atau turut dikenali sebagai Lanchang Biodiversiti Park (LBP)," katanya.

Mohd. Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang turut meminta penduduk Sungai Kepung dan Kampung Bongsu supaya memelihara tempat bersejarah itu supaya tidak tercemar dengan aktiviti yang boleh merosakkan alam sekitar.
P/S : Jangan lupa ye ana mesti melawat Temerloh sekurang-kurangnya sekali seumur hudup..:)